Kisah Nabi Isa A.S
Seorang lagi Nabi Allah yang diceritakan
dari kecil di dalam al-Qur'an ialah Isa. Baginda diutus kepada kaum Bani Israil
dengan kitab Injil yang diturunkan sebelum al-Qur'an.
Di dalam al-Qur'an, Nabi Isa disebut
dengan empat panggilan iaitu Isa, Isa putera Mariam, putera
Mariam, dan al-Masih.
Ibunya seorang yang sangat dimuliakan
Allah. Dia memilihnya di atas semua perempuan di semua alam. Firman-Nya,
"Dan ketika malaikat-malaikat berkata, 'Wahai Mariam, Allah memilih kamu,
dan membersihkan kamu, dan Dia memilih kamu di atas semua perempuan di semua
alam'" (3:42).
Mariam, ibu Nabi Isa, telah menempuh satu
ujian yang amat berat daripada Allah. Dia dipilih untuk melahirkan seorang Nabi
dengan tanpa disentuh oleh seseorang lelaki. Dia adalah seorang perempuan yang
suci.
Kelahiran
Kelahiran Nabi Isa merupakan suatu
mukjizat kerana dilahirkan tanpa bapa. Kisahnya diceritakan di dalam al-Qur'an.
Di sini, ceritanya bermula dari kunjungan malaikat kepada Mariam atas perintah
Allah. Ketika itu, malaikat menyerupai manusia dengan tanpa cacat. Kemunculan
malaikat membuat Mariam menjadi takut lalu berkata,
"Aku berlindung pada Yang Pemurah daripada kamu, jika kamu bertakwa
(takut kepada Tuhan)!'
Dia (malaikat) berkata, 'Aku hanyalah seorang rasul yang datang daripada
Pemelihara kamu, untuk memberi kamu seorang anak lelaki yang suci.'"
(19:18-19)
Pada ayat yang lain, diceritakan bahawa
malaikat yang datang itu telah memberi nama kepada putera yang bakal
dilahirkan. Nama itu diberi oleh Allah, dan dia (Isa) akan menjadi terhormat di
dunia dan akhirat sambil berkedudukan dekat dengan Tuhan. Ayatnya berbunyi:
"Wahai Mariam, Allah menyampaikan kepada kamu berita gembira dengan
satu Kata daripada-Nya, yang namanya al-Masih, Isa putera Mariam, terhormat di
dunia dan di akhirat, daripada orang-orang yang didekatkan." (3:45)
Kemudian Mariam bertanya,
"Bagaimanakah aku akan ada seorang anak lelaki sedang tiada seorang
manusia pun menyentuhku, dan bukan juga aku seorang jalang?" (19:20)
Malaikat menjawab,
"Dia (Allah) berkata, 'Begitulah; Pemelihara kamu telah berkata, 'Itu
mudah bagi-Ku; dan supaya Kami membuat dia satu ayat (tanda) bagi manusia, dan
satu pengasihan daripada Kami; ia adalah perkara yang telah ditentukan'"
(19:21).
Maka lahirlah Isa putera Mariam lebih enam
ratus tahun sebelum Nabi Muhammad dilahirkan. Allah membuat Nabi Isa dan ibunya
satu ayat (tanda) bagi manusia, iaitu tanda untuk menunjukkan kebesaran-Nya (23:50).
Allah juga menyatakan bahawa Nabi Isa
adalah seperti Adam, walaupun Adam diwujudkan tanpa ibu dan bapa. Kesamaan
mereka berdua adalah pada ciptaan. Kedua-duanya dicipta daripada tanah (3:59). Itu menunjukkan
mereka adalah manusia biasa, kerana manusia dicipta daripada tanah.
Kerasulan dan Kenabian
Isa adalah seorang Nabi dan juga seorang
Rasul. Baginda dan beberapa orang rasul telah dilebihkan Allah daripada
rasul-rasul lain. Ada yang Dia berkata-kata kepadanya, ada yang Dia menaikkan
darjat, dan bagi Isa, Dia memberi bukti-bukti yang jelas serta mengukuhkannya
dengan Roh Suci. Firman-Nya:
"Dan rasul-rasul itu, sebahagian Kami melebihkan di atas sebahagian
yang lain. Sebahagian ada yang kepadanya Allah berkata-kata, dan sebahagian Dia
menaikkan darjat. Dan Kami memberikan Isa putera Mariam bukti-bukti yang jelas,
dan Kami mengukuhkan dia dengan Roh Qudus (Suci)." (2:253)
Namun begitu, manusia dilarang oleh Allah
untuk membeza-bezakan antara para rasul dan Nabi. Larangan itu berbunyi,
"Katakanlah, 'Kami percaya kepada Allah, dan apa yang diturunkan
kepada kami, dan apa yang diturunkan kepada Ibrahim, dan Ismail, dan Ishak, dan
Yaakub, dan puak-puak, dan apa yang diberi kepada Musa, dan Isa, dan apa yang
diberi kepada Nabi-Nabi daripada Pemelihara mereka. Kami tidak membeza-bezakan
seorang pun antara mereka, dan kepada-Nya kami muslim.'" (2:136)
Akibat membeza-bezakan Nabi atau Rasul
dapat dilihat pada hari ini, iaitu Nabi Isa dipercayai oleh sesetengah pihak
sebagai Tuhan atau anak Tuhan, dan Nabi Muhammad, dianggap macam Tuhan, yang
berhak membuat hukum agama.
Ajaran
Oleh kerana Isa seorang Nabi baginda
diberi sebuah Kitab, Injil, yang mengandungi petunjuk dan cahaya untuk menjadi
pegangan Bani Israil. Selain menyuruh Bani Israil menyembah Allah dengan
mentaati Injil, baginda mengesahkan kitab Taurat yang diturunkan sebelumnya.
Dua firman Allah menjelaskannya di sini, berbunyi:
"Dan Kami mengutus, menyusuli jejak-jejak mereka, Isa putera Mariam,
dengan mengesahkan Taurat yang sebelumnya; dan Kami memberinya Injil, di
dalamnya petunjuk dan cahaya," (5:46) dan,
"Aku (Isa) hanya mengatakan kepada mereka apa yang Engkau
memerintahkan aku dengannya: 'Sembahlah Allah, Pemelihara aku dan Pemelihara
kamu.'" (5:117)
Turut disebut di dalam Injil (dan Taurat)
ialah berita mengenai kedatangan seorang Nabi berbangsa Arab, atau ummiy (7:157), dan janji
dikurniakan Taman atau Syurga bagi orang-orang yang berperang di jalan Allah (9:111). Janji itu juga
didapati di dalam Taurat dan al-Qur'an.
Ketika baginda diutus, manusia sedang
berselisih dalam hal agama. Maka kedatangannya adalah juga untuk memperjelaskan
apa yang diperselisihkan. Firman Allah:
"dia (Isa) berkata, 'Aku datang kepada kamu dengan kebijaksanaan, dan
supaya aku memperjelaskan kepada kamu sebahagian apa yang dalamnya kamu
memperselisihkan; maka kamu takutilah Allah, dan taatlah kepadaku.'"
(43:63)
Baginda juga memberitahu tentang
kedatangan seorang rasul selepas baginda, yang namanya akan dipuji. Ayat yang
mengisahkannya berbunyi:
"Wahai Bani Israil, sesungguhnya aku (Isa) rasul Allah kepada kamu,
mengesahkan Taurat yang sebelum aku, dan memberi berita gembira dengan seorang
rasul yang akan datang selepas aku, namanya ahmad (dipuji).”
(61:6)
Pengikut setia
Seperti Nabi atau Rasul yang lain, baginda
mempunyai pengikut-pengikut yang setia dan juga yang tidak setia atau yang
menentang. Pengikut-pengikutnya yang setia percaya kepada Allah dan kepadanya.
Mereka adalah muslim. Firman Allah:
"Dan ketika Aku mewahyukan pengikut-pengikut yang setia, 'Percayalah
kepada-Ku, dan rasul-Ku'; mereka berkata, 'Kami percaya, dan saksilah Engkau
akan kemusliman kami.'" (5:111)
Pengikut-pengikut yang setia pula menjadi
penolong-penolong, bukan baginya tetapi bagi Allah. Firman-Nya:
"Berkatalah pengikut-pengikutnya yang setia, 'Kami akan menjadi
penolong-penolong Allah; kami percaya kepada Allah, dan saksilah kamu akan
kemusliman kami.'" (3:52)
Begitu juga bagi pengikut-pengikut setia
Nabi-Nabi lain, termasuk Muhammad. Semuanya menjadi penolong-penolong Allah,
untuk melaksana dan menyampaikan mesej-Nya. Firman Allah:
"Wahai orang-orang yang percaya, jadilah kamu penolong-penolong Allah,
sebagaimana Isa putera Mariam berkata kepada pengikut-pengikut yang setia,
'Siapakah yang akan menjadi penolong-penolong aku bagi Allah?'
Pengikut-pengikut yang setia berkata, 'Kami akan menjadi penolong-penolong
Allah.'" (61:14)
Walau bagaimana pun, pengikut-pengikut
Nabi Isa yang setia memerlukan bukti selanjut untuk megesahkan kebenarannya dan
supaya hati mereka menjadi tenteram. Untuk itu mereka memohon sebuah meja
hidangan dari langit. Kisahnya berbunyi begini:
"Dan apabila pengikut-pengikut yang setia berkata, 'Wahai Isa putera
Mariam, bolehkah Pemelihara kamu menurunkan kepada kami sebuah meja hidangan
dari langit?'
Dia (Isa) berkata, 'Kamu takutilah Allah, jika kamu orang-orang mukmin.'
Mereka berkata, 'Kami menghendaki untuk memakan daripadanya, dan hati kami
menjadi tenteram, supaya kami mengetahui bahawa kamu berkata benar kepada kami,
dan supaya kami adalah antara para saksinya.'" (5:112-113)
Justeru itu, Isa memohon kepada Allah,
"Ya Allah, Pemelihara kami, turunkanlah kepada kami sebuah meja
hidangan dari langit, yang akan menjadi bagi kami satu perayaan, yang pertama
dan yang akhir bagi kami, dan satu ayat (tanda) daripada Engkau. Dan berilah
rezeki untuk kami; Engkau yang terbaik daripada pemberi-pemberi rezeki."
(5:114)
Allah mengabulkan permintaannya. Lantas,
meja hidangan yang turun menjadi satu lagi mukjizat bagi Nabi Isa. Dan ia juga
menjadi nama sebuah surah di dalam al-Qur'an, iaitu surah kelima, al-Maidah.
Mukjizat
Selain daripada kelahiran yang luar biasa
dan meja hidangan, Nabi Isa telah dikurniakan dengan beberapa mukjizat lain.
Ayat berikut menjelaskannya:
"Ketika Allah berkata, 'Wahai Isa putera Mariam, ingatlah akan
rahmat-Ku ke atas kamu, dan ke atas ibu kamu, apabila Aku mengukuhkan kamu
dengan Roh Qudus (Suci), untuk berkata-kata kepada manusia di
dalam buaian dan setelah dewasa ..... dan apabila kamu mencipta daripada tanah
liat, dengan izin-Ku, yang seperti bentuk burung, dan kamu menghembuskan ke
dalamnya, lalu jadilah ia seekor burung, dengan izin-Ku, dan kamu
menyembuhkan orang buta, dan orang sakit kusta, dengan
izin-Ku, dan kamu mengeluarkan orang yang mati, dengan izin-Ku'
..... lalu orang-orang yang tidak percaya antara mereka berkata, 'Tiadalah ini,
melainkan sihir yang nyata.'" (5:110)
Walaupun Nabi Muhammad hanya diberi satu
mukjizat, manusia ditegah daripada berkata bahawa Nabi Isa adalah lebih mulia
daripada Nabi Muhammad. Kerana, seperti yang sudah maklum, amalan membeza-beza
para Nabi dan Rasul dilarang Allah. (Sila rujuk Tidak
Mempercayai Mukjizat Nabi?)
Wafat
Tidak seperti kepercayaan sesetengah orang
iaitu Nabi Isa tidak wafat semasa disalib tetapi diangkat naik ke langit.
Sebenarnya, Nabi Isa telah wafat di bumi, namun bukan disalib. Baginda telah
wafat selepas peristiwa penyaliban ke atasnya di sebuah tempat lain yang tidak
diceritakan di dalam al-Qur'an. Besar kemungkinan baginda telah melarikan diri
dari tempat baginda dijatuhkan hukum.
Bukti yang menunjukkan baginda telah wafat
di bumi terdapat pada ayat-ayat berikut:
"Apabila Allah berkata, 'Wahai Isa, Aku akan mematikan kamu,
dan menaikkan kamu kepada-Ku, dan Aku membersihkan kamu daripada orang-orang
yang tidak percaya .....'" (3:55)
"Dan aku (Isa) seorang saksi ke atas mereka selama aku di kalangan
mereka; tetapi setelah Engkau mematikan aku, Engkau Sendiri
adalah penjaga ke atas mereka; Engkau saksi atas segala sesuatu." (5:117)
Akan tetapi, sebahagian daripada kaum Bani
Israil mengatakan bahawa mereka telah membunuhnya disalib. Allah mengatakan
yang sebaliknya pula. Apa yang berlaku hanya satu kesamaan sahaja. Firman-Nya:
"ucapan mereka, 'Kami telah membunuh al-Masih, Isa putera Mariam,
rasul Allah.' Tetapi mereka tidak membunuhnya, dan tidak juga menyalibnya,
tetapi hanya satu kesamaan yang ditunjukkan kepada mereka. Orang-orang yang
berselisih mengenainya benar-benar dalam keraguan terhadapnya; mereka tidak ada
pengetahuan mengenainya, kecuali mengikuti sangkaan; mereka tidak membunuhnya,
yakinlah." (4:157)
Telah wujud lagi kepercayaan terhadap Nabi
Isa yang tidak disahkan Allah di dalam al-Qur'an, iaitu baginda akan muncul
lagi di bumi buat kali kedua. Itu tidak benar. (Sila rujuk artikel Menanya Ustaz: kedatangan Imam Mahadi
& Nabi Isa dan Imam Mahadi di
ruangan Soalan Lazim. Terima kasih.)
Terpesong
Setelah Isa wafat, beberapa perkara telah
berlaku. Pertama, orang-orang yang mengaku pengikut baginda telah menubuhkan
sistem berahib, atau berpaderi, atau sistem berulama dalam agama. Sistem itu
tidak dianjurkan oleh Allah. Firman-Nya:
"Dan rahbaniyah (sistem berahib) yang mereka reka - Kami tidak
menuliskan (menetapkan) untuk mereka" (57:27).
Kemudian, antara mereka bersetuju untuk
mengangkat Nabi Isa sebagai Tuhan atau anak Tuhan, mungkin kerana kelahiran
yang luar biasa dan mukjizat-mukjizatnya. Mereka yang berbuat demikian telah
terpesong dalam kepercayaan lalu menjadi kafir. Firman-Nya:
"Merekalah orang-orang yang tidak percaya (kafir), yang berkata,
'Sesungguhnya Allah, Dia ialah al-Masih putera Mariam'" (5:17), dan
"orang-orang Kristian berkata, 'Al-Masih ialah putera Allah.' Itu
adalah ucapan daripada mulut mereka, menurut ucapan orang-orang yang tidak
percaya sebelum mereka. Allah memerangi mereka! Bagaimanakah mereka
dipalingkan?" (9:30)
Satu bukti telah didatangkan Allah untuk
menunjukkan kepalsuan kepercayaan mereka. Buktinya adalah pada amalan memakan
makanan, berbunyi:
"Al-Masih, putera Mariam, hanyalah seorang rasul; rasul-rasul sebelum
dia telah berlalu. Ibunya seorang wanita yang benar; mereka berdua makan
makanan. Perhatikanlah bagaimana Kami memperjelaskan ayat-ayat kepada mereka,
kemudian perhatikanlah bagaimana mereka berpaling." (5:75)
Nabi Isa dan ibunya makan makanan. Tetapi
Tuhan tidak makan. Kalau Dia makan tentu Dia mempunyai sebuah "pintu
kecil" untuk mengeluarkan makanan yang tidak diperlukan lagi. Tuhan tidak
ada pintu tersebut seperti yang terdapat di bahagian belakang badan manusia
atau haiwan.
Sekiranya hujah itu disampaikan kepada
orang-orang yang mempercayai Nabi Isa itu Tuhan atau anak-Nya, tentu mereka
akan berpaling juga dan tetap dengan kepercayaan mereka. Begitulah manusia
dengan kepercayaan agamanya. Mereka lupa menggunakan akal.
Akhirat
Kepercayaan serupa itu sungguh berat di
sisi Allah sehingga Nabi Isa akan ditanya di akhirat.
Baginda akan ditanya sama ada baginda telah menyatakan bahawa
baginda dan ibunya adalah tuhan-tuhan selain daripada Allah.
Pertanyaan-Nya berbunyi:
"Wahai Isa putera Mariam, adakah kamu mengatakan kepada manusia,
'Ambillah aku dan ibuku sebagai tuhan-tuhan selain daripada Allah'?"
(5:116)
Nabi Isa akan menjawab:
"Kepada Engkau sanjungan! Tiadalah bagiku untukku mengatakan apa yang
aku tiada hak dengannya. Jika aku mengatakannya, Engkau mengetahuinya, dengan
mengetahui apa yang di dalam jiwaku, dan aku tidak mengetahui apa yang di dalam
jiwa Engkau; sesungguhnya Engkaulah yang mengetahui yang ghaib." (5:116)
Jawapannya bersambung lagi:
"Aku hanya mengatakan kepada mereka apa yang Engkau memerintahkan aku
dengannya: 'Sembahlah Allah, Pemelihara aku dan Pemelihara kamu.' Dan aku
seorang saksi ke atas mereka selama aku di kalangan mereka; tetapi setelah
Engkau mematikan aku, Engkau Sendiri adalah penjaga ke atas mereka; Engkau
saksi atas segala sesuatu." (5:117)
Nabi Muhammad juga akan ditanya di akhirat
atas sesuatu yang amat berat juga. Baginda ditanya mengenai sambutan kaumnya
terhadap al-Qur'an. Jawapan baginda berbunyi:
"Wahai Pemeliharaku, sesungguhnya kaumku mengambil al-Qur'an ini
sebagai suatu yang tidak dipedulikan." (25:30)
Itulah yang berlaku pada hari ini. Ajaran
al-Qur'an tidak dipedulikan. Namun, masa masih ada untuk semua kembali kepada
ajaran al-Qur'an.

No comments:
Post a Comment